Selasa, 9 September 2008

Jan Opletal

Jan Opletal, pelajar perubatan dari University of Prague dikebumikan pada 17 November 1939. Kematian beliau berpunca daripada kecederaan teruk dibelasah tentera Nazi ketika sedang berdemonstrasi antiNazi pada hari sambutan kemerdekaan Republic Czechoslovak (pada 28 Oktober).
Kali terakhir beliau membuka mata, pada 11 November.

Majlis pengkebumian Opletal bertukar menjadi demonstrasi antiNazi, disertai oleh beribu-ribu pelajar Czech. Selanjutnya, tentera Nazi bertindak meleraikan rusuhan itu sehingga mengakibatkan 1200 dibawa ke kem tahanan, 9 dihukum bunuh dan seluruh universiti di Czech, ditutup.

Ini tragedi besar yang dikenang, sehinggalah pada 1941, pelajar-pelajar di London mengisytiharkan tarikh berkenaan (17 November) sebagai Hari Mahasiswa Antarabangsa. Sehingga kini, hari berkenaan disambut oleh pelajar-pelajar yang tahu kewujudan hari memorial ini.

Yang menariknya, pada 1989, sambutan di Prague begitu berguna kerana telah menjayakan Revolusi Velvet di republik itu.

Di Malaysia, saya kira ada satu sambutan, Hari Hak Mahasiswa. Sayangnya, entah apa peristiwa yang berlaku pada hari itu sehingga dinobatkan sebagai satu ulang tahun.
(Baca selanjutnya...)

Parti Mahasiswa Negara

Sekitar April hingga Mei 1969, nama mahasiswa seperti Syed Hamid Ali, Rustam A. Sani, Yoong Suan dan Khong Kim Hoong agak popular berikutan penglibatan mereka dalam pilihan raya umum.

Khabarnya, 13 rapat umum berjaya dianjurkan di serata tanah air, dengan jumlah penonton seramai kira-kira 100,000!

Syed Hamid sendiri merupakan Ketua Umum Partai Rakyat Cawangan Pantai. Bagaimanapun, beliau mula dipandang sangsi kerana dikatakan telah bekerjasama memohon permit Perarakan Mayat (disahkan oleh KDN dan Polis Selangor) - seterusnya dituduh menjadi dalang peristiwa 13 Mei.

Akta Universiti dan Kolej Universiti kemudiannya digubal pada 1971.

Empat dekad selepas itu, satu kumpulan pelajar dari pertubuhan Gamis telah mengeluarkan kenyataan akan menubuhkan sebuah parti politik baru, Parti Mahasiswa Negara (PNM).

Nah, luar biasa bukan? Semalam mereka berhimpun di hadapan bangunan SPR, Putrajaya. Laporan berkaitan ada di sini, sini,

Kata jurucakapnya, Meor Isfandi Meor Azizan (Ketua Unit Politik Gamis UIAM, Pengerusi Badan Bertindak Mahasiswa Anti Murtad), Kerajaan dan PAS umpama badut yang bertelingkah sesama sendiri, sedangkan rakyat terus tertindas.

Blogger laman Dengan Izin, dalam tulisan berkaitan menyelar usaha mereka yang kelihatan kabur. Antaranya:
Gamis sendiri menjalani kaderisasi secara langsung dan tidak langsung dari sistem tarbiyah PAS, justeru tidakkah ini menggambarkan bahawa PMN sendiri bersedia untuk ‘membadutkan’ diri dalam landskap politik Malaysia, sebagaimana yang dihambur oleh mereka ke arah PAS.
Tulisan penuh boleh dicapai di sini.

Seorang lagi blogger, Najwan Halimi dalam tulisannya turut mempersoalkan kecelaruan pendirian parti itu.
Ketika mengumumkan penubuhan PMN, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sanggup disanggah tetapi ketika ditanya tentang calon yang bakal diketengahkan dalam pilihanraya maka AUKU pula jadi pertimbangan. Kenapa tidak diletakkan saja mahasiswa yang masih menuntut sebagai calon jika benar PMN serius untuk membawa nama "mahasiswa" ke kancah politik nasional?
Lihat di sini.

Komentar di MalaysiaKini juga nampaknya tidak bersetuju dengan penubuhan parti itu. Lihat video ini dan komen-komen di laman ini, klik pada tajuk Students to contest in general election. Antaranya:
Commented by John on Monday, 7 January 2008
If ROS accept them, then perhaps it is high time that Christians also should form own their political party!
Sehingga kini (saya menulis), Harakah masih belum membuat sebarang kenyataan berhubung penubuhan PMN.

Dan lagi, PMN kata, mereka akan berdaftar dengan RoS pada minggu depan. Sekarang, proses merekut ahli. Dalam video MalaysiaKini, jurucakap PMN Fatimah Ali berkata jumlah calon yang bakal bertanding adalah rahsia buat ketika ini.

"Kami akan umumkan pada kongres akan datang," katanya.

(akalmuda.blogspot.com, 8 Januari 2008)
(Baca selanjutnya...)

Starbucks di Kampus?

"Saya terfikir kenapa tidak kita bawa Starbucks ke universiti, usaha ini boleh menggalakkan mereka melakukan perbincangan di kafe yang menyediakan perkhidmatan Wi-Fi.

"Saya tidak nampak ada halangan atau masalah yang akan timbul tetapi ia mesti dibuat di pusat pelajar, tambahan pula, banyak syarikat yang bersedia menawarkan perkhidmatan itu di universiti,''

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron

Ini sangat mengejutkan. Laporan penuh boleh dibaca di sini (dan versi yang sudah disunting).

Saya menyokong banyak usaha kerajaan, tetapi yang ini saya bantah sama sekali. Kenapa dalam banyak-banyak turutan usaha yang perlu dilaksanakan kementerian terbabit untuk universiti, yang ini didahulukan?


(i)
Menurut beliau lagi, ramai penuntut universiti yang sanggup keluar kampus untuk mengunjungi kafe Starbucks di bandar sambil melakukan tugasan mereka.
Ia cukup was-was, lagi-lagi kuantitinya. Tambahan, kalau ditanya pada rata-rata pelajar yang berkunjung ke kafe itu, jawapan mereka ialah kerana prestij. Bahkan pelajar yang memerhatikan pengunjung terbabit, turut berpandangan bahawa melepak di Starbucks menampakkan ketinggian status sosial.

Yang sanggup keluar kampus itu, tidak semestinya bermaksud mahu ke Starbucks semata-mata, tetapi ke pusat membeli-belah.

(ii)
I have not seen a single Starbucks, Coffeebean, Pizza Hut or Dominos and we are cheering. One presentor from Istanbul was lamenting that these icons of the West are destroying the traditional cafes in Turkey.
Ini persoalan budaya. Starbucks atau Dunkin Donuts bukan budaya tempatan. Apakah Timbalan Menteri ini lupa satu ketika Universiti Malaya pernah berkocak dek usaha memasukkan McDonalds ke dalam kampus itu?

Seyogianya imperialisme ekonomi seperti ini perlu dikekang. Kita ada banyak pilihan premis tempatan, kalaulah kita kemaruk sangat mahu membudayakan 'elitisme kopi' di kalangan pelajar.

Apakah gunanya MARDI mengusahakan tanaman kopi Liberica? KopieSatu keluaran FAMA (malah mula dipopularkan di Agro Bazaar di Restoran Jejantas Ayer Keroh, Melaka)? Adalah lebih baik membudayakan produk tempatan berbanding mempromosi produk Washington ini.

Satu lagi, budaya elitisme kebaratan. Kenapa beria-ia benar mahu menggalakkan 'mereka melakukan perbincangan di kafe yang menyediakan perkhidmatan Wi-Fi' dalam lingkungan budaya sebegini? Starbucks di Barat tidak lebih sekadar kedai mamak/kopitiam di sini.

Di sini, pelajar menerimanya sebagai satu prestij. Kita ambil budaya minum kopi Barat, dan kita pula iktirafnya sebagai elit (di kalangan pelajar ia sudah cukup elit - atau mungkin budaya metropolitan - tak perlu sejauh kafe di hotel lima bintang). Bermakna, 'prestij' itu seperti mahu dijadikan satu tarikan untuk berdiskusi.

Suasana elit atau berprestij belum tentu menjamin diskusi yang berprestij! Turutan usaha yang perlu didahulukan ialah memprestijkan pemikiran pelajar, bukan imejnya!

Parah betul bila universiti yang selayaknya menjadi pusat penyebar budaya (dan penganjur!), ditakluk pula oleh budaya luar.

(iii)

Peringkat umur muda (pelajar) ketika ini didominasi dengan 'perasaan inginkan perhatian' - terutamanya dalam proses menjalin hubungan cinta. Nah, menonjolkan prestij adalah salah satunya. Kita risaulah pelajar yang tak berduit cuba-cuba bergaya di kafe ini.

Kelak, masalah pengurusan kewangan pelajar akan jadi lebih serius (harga secawan Caffè Latte keluaran Starbucks lebih RM10, manakala keluaran tempatan tidak lebih RM5).

Dalam keparahan ekonomi yang terbeban ke atas kebanyakan rakyat hari ini, kenapa perlu dihadapkan lagi pada anak-anak muda yang sebahagiannya tidak begitu memahami (bahkan tidak mahu ambil peduli) akan hal itu?

Kementerian sudah membenarkan premis ini membuka francaisnya dengan harapan, pemiliknya memberi subsidi kepada pelajar. Kalaulah harganya dapat diturunkan sehingga tidak mengganggu kewangan pelajar, kita dapat berkompromi - dalam bab ini.

(iv)

Katanya, walaupun terdapat IPTA yang sudah menyediakan perkhidmatan Wi-Fi, namun ia masih belum dilakukan secara menyeluruh.

Melayari internet di Starbucks sambil menghirup kopinya yang sangat lazat memang sesuatu yang mengasyikkan bagi sesetengah orang. Tetapi masalah Wi-Fi di kampus yang dibangkitkan oleh Timbalan Menteri ini sangat meragukan.

Kenapa tidak langsung dipasang perkhidmatan Wi-Fi di kafeteria yang sedia ada di kampus? Kalau jawapan yang diberi - kementerian/universiti tidak sanggup menampung kos:

1. Biarlah pengusaha kafeteria yang menampungnya. Kadar sewa bagi penyewa premis boleh dinaikkan mengikut kos Wi-Fi (tidaklah membebankan sebab bukannya begitu mahal, apatah lagi kalau diagihkan)

2. Di fakulti, biasanya ada satu ruang pelajar berkumpul (saya tidak tahu apa istilahnya, ia banyak kerusi dan meja, sama seperti ruang kafeteria) dan kawasan ini selalunya ada capaian Wi-Fi (kalau tidak ada, alangkah sedihnya kualiti infrastruktur yang disediakan). Apalah salahnya kalau kawasan ini ada satu kiosk, atau lori bergerak yang menjual kopi/minuman yang serupa dengan nikmatnya kopi Starbucks?

3. Ataupun, serahkan saja pada badan pelajar untuk menjalankan operasi perniagaan sepertinya.

Usaha Timbalan Menteri ini takut-takut menimbulkan salah sangka. Kita ragu-ragu dan mahu tanyalah pada beliau - adakah ia ada kaitan dengan kepentingan perniagaan yang membawa untung kepada politikus/birokrat/kumpulan tertentu?

(akalmuda.blogspot.com, 26 Jun 2008)

(Baca selanjutnya...)