Jumaat, 23 Disember 2011

BEBAS: Kebebasan akademik atau kebebasan politik? (iii)

Sambungan siri (i) dan (ii)

11 Julai 2006, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) bersama-sama Datin Seri Wan Azizah, Tian Chua dan beberapa NGO seperti Asian Student Assosiation (ASA), Suaram dan Hakam mengadakan perbincangan Proposal Pemansuhan AUKU.

25 Jun 2008, Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA) dilaporkan mencadangkan akta alternatif bagi menggantikan AUKU, disebut sebagai Piagam Agung untuk Akta Mahasiswa 2008 (foto kiri).

Dua gerak kerja pemansuhan AUKU ini merupakan antara yang melibatkan usaha pragmatik kumpulan terbabit, dibandingkan berpuluh-puluh gerak kerja lain yang lebih menonjolkan retorik dan cita-cita politik.

Kita tidak bersetuju AUKU dimansuhkan kerana tuntutan yang dibuat mereka hanyalah menyentuh sebahagian kecil seksyen (termasuk subseksyennya) daripada puluhan yang lain, iaitu hal kebebasan.

(iii) Tuntutan ke-3: Bebaskan Mahasiswa Bersuara dan Tuntutan ke-6: Bebaskan Mahasiswa Berpartisipasi dalam Politik.


Kita ingin buktikan terlebih dahulu bahawa seksyen 15 AUKU, Kaedah Tatatertib Universiti dan penguatkuasaanya terlalu longgar untuk menyekat kebebasan bersuara dan penglibatan pelajar dalam politik.  Perbahasan ini pada kemudiannya akan menunjukkan bahawa usaha memansuhkan AUKU dan tuntutan BEBAS hanyalah sekadar alat dan alasan berkepentingan politik.
(Baca selanjutnya...)

Rabu, 21 Disember 2011

BEBAS: Kebebasan Akademik atau Kebebasan Politik (ii)


Sambungan siri (i)

Politik kampus, antara yang perlu difahami ialah kepraktisan bagi pilihan raya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Dalam seksyen 48 (2) Jadual Pertama AUKU, telah diperuntukkan bahawa universiti HENDAKLAH mengadakan pemilihan ini.

Seperti dimaklumkan sebelum ini, memansuhkan AUKU bererti sistem pemilihan ini akan menjadi amat tempang kerana ketiadaan satu peruntukan undang-undang yang khusus mengenainya. Kita pasti akan bertanya, atas asas apakah serta bagaimanakah pilihan raya kampus (PRK) dapat dijalankan? Konsensus pelajar? Siapa SPRnya? Bagaimana kaedah melantiknya?

Dan secara pukul rata, kita boleh mengatakan, tanpa AUKU, tiada ketetapan khusus atau keabsahan untuk menidakkan bahawa PRK bila-bila masa tidak perlu dijalankan!

Tanyalah pada kumpulan BEBAS ini, nescaya  PRK merupakan orgasme gerakan mereka - selagi belum terjun dalam politik nasional sepenuhnya. Sayangnya, mereka tidak menyedari, atau barangkali tidak mempedulikan kepentingan seksyen ini dalam memenuhi keghairahan mereka berpesta PRK.

(ii) Kita perhatikan pula Tuntutan ke-4: Bebaskan mahasiswa mengurus pilihan raya kampus.

Jika mereka tuntut AUKU perlu dipinda untuk memastikan mahasiswa sendiri mengurus pilihan raya kampus, maka ini adalah lebih wajar daripada memansuhkannya. Yang menjadi isu bukan seluruh statut, tetapi pada seksyen 48(2)(a) dan (b) - kerana AUKU memperuntukkan kuasa kepada kakitangan (NC) untuk menjalankan PRK.

Dan BEBAS akan kelihatan lebih matang sekiranya mampu menyediakan draf pindaan untuk dicadangkan kepada yang berkenaan.



Ia lebih mengurangkan kekecohan, lebih bijaksana dan lebih bersifat 'universiti. Malah, lebih kurang risiko mendapat penumbuk berbanding menurunkan bendera milik parti!

Namun kita belum boleh terus bersetuju sekiranya seksyen ini dipinda bagi membolehkan pelajar sendiri yang mengurus. Soalan pertama ialah, bagaimana kaedah memilih SPRnya? Saya belum meneliti kaedah Universiti Malaya menjalankan PRK sebelum AUKU dikuat kuasa (sebelum 1971) - dan masih belum menemui naskhah Akta Universiti Malaya 1961*

*Mohon dikongsi kaedahnya serta naskhah akta itu.

Adakah SPR akan dipilih melalui undi pelajar (kah kah kah!), atau ada panel khas, atau dilantik oleh kakitangan universiti, atau disertai wakil parti pelajar (AUKU tak menyekat pertandingan secara parti, SPR yang menentukannya)?

Atau mungkin boleh mengambil kaedah mirip Perkara 114 (1) Perlembagaan Persekutuan yang mana Suruhanjaya Pilihanraya dilantik oleh YDPA selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Kita mungkin boleh melibatkan MPP mencadangkan pengerusi, timbalan pengerusi dan anggota SPR PRK kepada Naib Canselor untuk melantiknya. Namun ini pun ada kelemahannya dan bertambah rumit - kerana melibatkan kesibukan pelajar.

Manakala itu, soal tidak adil, tidak telus atau apa pun istilah seumpamanya dikenakan ke atas SPR yang terdiri daripada kakitangan universiti, pun masih boleh berlaku jika pelajar yang mengganggotainya.

Dan perlu diketahui bahawa semenjak AUKU dikuatkasa, kem propembangkang tetap mampu menguasai MPP dalam berpuluh-puluh PRK - meskipun dalam dakwaan ketidak adilan itu!

Kita bukan mahu menidakkan kemampuan pelajar menguruskan PRK - banyak universiti di luar negara sudah mengamalkannya.*

Namun, berdasarkan pengamatan pada tuntutan ini sahaja, sudah menampakkan kita belum bersedia. Tuntutan ini begitu goyah dan tidak bertanggungjawab - seharusnya ada kajian teliti dan resolusi yang jelas. Biarlah ia lebih pragmatik.


Maka kita ingin bertanyalah, adakah tuntutan ke-4 ini benar-benar telah digambarkan bagaimana prosesnya - dari A-Z? Ataupun mereka sekadar membayangkan keindahan pelajar berperanan seperti SPR - maka sudah terasa nikmat kuasa mahasiswa?

Ini masalah pemikiran kebanyakan kita. Berkehendakkan sesuatu, tetapi sekadar menterjemahkannya kepada usaha lekeh (teknik peras ugut). Kalau diasingkan hal ini - sekiranya bukanlah satu gerakan politik - kita dapati betapa kuatnya pergantungan kita pada kerajaan, dalam masa yang sama seolah-olah mahu lebih berdikari. Ironi sekali!

*Di University of Ilinois misalnya, AS, keanggotaan pengendali pilihanraya (dikenali Student Election Commission - SEC) terdiri daripada pelajar. Ada beberapa syarat dinyatakan untuk keanggotaan, antaranya anggota dinilai berapa jam kredit yang sedang diikuti.

Di University of Wisconsin-Madison, mereka mampu menggubal perlembagaan MPP (termasuklah kaedah pilihan raya) sendiri. Ia mirip seperti satu kerajaan - yang kerjanya bukan hanya bergambar bersama pemimpin politik ataupun menjadi apparatchik parti  - sebaliknya berperanan seperti parlimen.

Di Malaysia, kita meraung-raung mahu Student Power, tetapi jika diamati, 'Power' itu hanya terlihat pada kelantangan berkonfrontasi dengan kerajaan. Ia semakin ketara menampakkan mahasiswa berperanan sebagai bidak catur politik yang cara fikirnya selari dan tidak keluar daripada setting kehendak tuan politiknya. Ini kerja apparatchik parti. Student Power hari ini perlu diterjemah bukan lagi mengikut gerakan era 60 - 70-an.


Bersambung...
(Baca selanjutnya...)

Isnin, 19 Disember 2011

BEBAS: Kebebasan Akademik atau Kebebasan Politik? (i)



Kita boleh perhatikan betapa kasihannya gerakan aktivis pelajar haluan kiri (dilihat kelompok pelajar paling lantang) yang masih berlegar-legar dalam kepompong sempit - budaya kemahasiswaan yang gagal keluar daripada kehendak politik nasional.

Saban tahun, ideanya bersifat sama meski pun batang tubuh dan nama gerakannya berubah-ubah: ia tetap berorientasi politikal, retorik dan tidak menyelesaikan masalah. Sungguh pun secara kasarnya ia kelihatan konsisten dan seolah-olah silih berganti menyambung usaha kumpulan terdahulu bagi mencapai matlamatnya, namun terlalu banyak yang boleh diragukan.

Misalnya yang terbaharu, kita dikecohkan dengan himpunan Gerakan Mahasiswa Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) dengan enam tuntutan klise. Mari kita bahaskan beberapa tuntutan terbabit:

(i) Mansuhkan AUKU, AKTA 174 dan AKTA 555

Akan halnya berkenaan AUKU, barangkali kita wajar tanyakan adakah mereka benar-benar sudah memperhalusi akta ini. Memansuhkan AUKU merupakan kerja besar yang melibatkan penstrukturan semula tatacara pentadbiran, legitimasi penubuhan, kaedah tatatertib dan perlembagaan universiti.

Jika tiada satu akta yang mengabsahkan penubuhan universiti - bagaimana hendak diiktiraf universiti itu (seksyen 6)? Bagaimana peruntukan kewangan melalui parlimen boleh hendak disalurkan ke universiti (seksyen 11)? Bagaimana undang-undang dapat mengesahkan pengambilan kawasan tanah untuk kegunaan universiti (seksyen 13)? Dan apatah lagi AUKU mengabsahkan perlembagaan universiti (seksyen 8)yang antaranya mengaturkan pesta pilihan raya kampus!
 
Kita mahu bertanya lagi - adakah dengan pemansuhan AUKU, autonomi akademik terjamin? Walhal,seksyen 17(2) Jadual Pertama memberi kuasa kepada Senat universiti untuk menentukan hal ehwal akademik; bahkan universiti turut dilindungi daripada gejala rosak akademik - 'universiti/pengijazahan palsu' (seksyen 24) dan dilindungi Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 bagi melindungi autonomi universiti (seksyen 24B).

Kita tak menyentuh lagi berkenaan hal ehwal kebajikan, penentuan kenaikan pangkat, kewajiban universiti menyediakan itu ini dan beberapa yang lain. Dan satu lagi, jika benar mereka teliti, dapat ditemui bahawa Perlembagaan Universiti (dalam Jadual Pertama, sek 5) betapa AUKU menjamin tiadanya diskriminasi ras, jantina, agama, bangsa dalam mengambil ahli universiti.        

Maka yang demikian, kita pun tertanya-tanyalah, mereka sebenarnya faham atau tidak fungsi AUKU ini? Begitu juga dengan Akta 174: Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib) dan Akta 555: Akta Institusi Pengajian Swasta.*

* Kerja gila mahu mansuh Akta 555 sebab daripada 99 seksyen, hanya lima yang menyentuh tentang tatatertib pelajar dan hanya satu yang menyentuh larangan politik (seksyen 47)!!!

Setakat apa yang dihebahkan kumpulan seperti ini, yang dimahukan ialah kebebasan (berparti, bersuara, berhimpun dan berpersatuan) dan sangat mirip dengan kehendak politik. Kita tak pasti sejauh mana kebebasan itu - adakah sekadar yang menyentuh seksyen 15 (untuk pelajar) atau sehingga meliputi semua kakitangan? Adakah sehingga perlu ditiadakan Kaedah Tatatertib yang mencakupi larangan meniru dalam peperiksaan, minum arak, berkelakuan sumbang, bahan lucah dan sebagainya - begitukah pengertiannya?

Kita boleh mendakwa tuntutan mansuhkan AUKU ini dibuat dengan sangat dangkal kedalaman fahamnya. Lainlah kalau dinyatakan dengan teliti, satu persatu apakah bentuk kebebasan yang dituntut. Bagaimanakah draf alternatif sekiranya AUKU dimansuh, sebab universiti perlu berjalan dengan sistem dan keabsahan undang-undang.

Maka beranilah kita mendakwa pula ini bukanlah usaha bersungguh untuk mencapai misi kebebasan akademik sebenar - sebaliknya dijadikan alat untuk milling, berhimpun bagi melaksanakan agenda politik - sama ada bagi memenuhi kehendak tuan-tuan politik, keghairahan mengartikulasi rasa sokongan/kebencian terhadap parti, agenda publisiti diri atau niatnya begitu suci tetapi tindakannya begitu dikepung kedangkalan faham.



(bersambung) (Baca selanjutnya...)