Selasa, 9 September 2008

Jan Opletal

Jan Opletal, pelajar perubatan dari University of Prague dikebumikan pada 17 November 1939. Kematian beliau berpunca daripada kecederaan teruk dibelasah tentera Nazi ketika sedang berdemonstrasi antiNazi pada hari sambutan kemerdekaan Republic Czechoslovak (pada 28 Oktober).
Kali terakhir beliau membuka mata, pada 11 November.

Majlis pengkebumian Opletal bertukar menjadi demonstrasi antiNazi, disertai oleh beribu-ribu pelajar Czech. Selanjutnya, tentera Nazi bertindak meleraikan rusuhan itu sehingga mengakibatkan 1200 dibawa ke kem tahanan, 9 dihukum bunuh dan seluruh universiti di Czech, ditutup.

Ini tragedi besar yang dikenang, sehinggalah pada 1941, pelajar-pelajar di London mengisytiharkan tarikh berkenaan (17 November) sebagai Hari Mahasiswa Antarabangsa. Sehingga kini, hari berkenaan disambut oleh pelajar-pelajar yang tahu kewujudan hari memorial ini.

Yang menariknya, pada 1989, sambutan di Prague begitu berguna kerana telah menjayakan Revolusi Velvet di republik itu.

Di Malaysia, saya kira ada satu sambutan, Hari Hak Mahasiswa. Sayangnya, entah apa peristiwa yang berlaku pada hari itu sehingga dinobatkan sebagai satu ulang tahun.
(Baca selanjutnya...)

Parti Mahasiswa Negara

Sekitar April hingga Mei 1969, nama mahasiswa seperti Syed Hamid Ali, Rustam A. Sani, Yoong Suan dan Khong Kim Hoong agak popular berikutan penglibatan mereka dalam pilihan raya umum.

Khabarnya, 13 rapat umum berjaya dianjurkan di serata tanah air, dengan jumlah penonton seramai kira-kira 100,000!

Syed Hamid sendiri merupakan Ketua Umum Partai Rakyat Cawangan Pantai. Bagaimanapun, beliau mula dipandang sangsi kerana dikatakan telah bekerjasama memohon permit Perarakan Mayat (disahkan oleh KDN dan Polis Selangor) - seterusnya dituduh menjadi dalang peristiwa 13 Mei.

Akta Universiti dan Kolej Universiti kemudiannya digubal pada 1971.

Empat dekad selepas itu, satu kumpulan pelajar dari pertubuhan Gamis telah mengeluarkan kenyataan akan menubuhkan sebuah parti politik baru, Parti Mahasiswa Negara (PNM).

Nah, luar biasa bukan? Semalam mereka berhimpun di hadapan bangunan SPR, Putrajaya. Laporan berkaitan ada di sini, sini,

Kata jurucakapnya, Meor Isfandi Meor Azizan (Ketua Unit Politik Gamis UIAM, Pengerusi Badan Bertindak Mahasiswa Anti Murtad), Kerajaan dan PAS umpama badut yang bertelingkah sesama sendiri, sedangkan rakyat terus tertindas.

Blogger laman Dengan Izin, dalam tulisan berkaitan menyelar usaha mereka yang kelihatan kabur. Antaranya:
Gamis sendiri menjalani kaderisasi secara langsung dan tidak langsung dari sistem tarbiyah PAS, justeru tidakkah ini menggambarkan bahawa PMN sendiri bersedia untuk ‘membadutkan’ diri dalam landskap politik Malaysia, sebagaimana yang dihambur oleh mereka ke arah PAS.
Tulisan penuh boleh dicapai di sini.

Seorang lagi blogger, Najwan Halimi dalam tulisannya turut mempersoalkan kecelaruan pendirian parti itu.
Ketika mengumumkan penubuhan PMN, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sanggup disanggah tetapi ketika ditanya tentang calon yang bakal diketengahkan dalam pilihanraya maka AUKU pula jadi pertimbangan. Kenapa tidak diletakkan saja mahasiswa yang masih menuntut sebagai calon jika benar PMN serius untuk membawa nama "mahasiswa" ke kancah politik nasional?
Lihat di sini.

Komentar di MalaysiaKini juga nampaknya tidak bersetuju dengan penubuhan parti itu. Lihat video ini dan komen-komen di laman ini, klik pada tajuk Students to contest in general election. Antaranya:
Commented by John on Monday, 7 January 2008
If ROS accept them, then perhaps it is high time that Christians also should form own their political party!
Sehingga kini (saya menulis), Harakah masih belum membuat sebarang kenyataan berhubung penubuhan PMN.

Dan lagi, PMN kata, mereka akan berdaftar dengan RoS pada minggu depan. Sekarang, proses merekut ahli. Dalam video MalaysiaKini, jurucakap PMN Fatimah Ali berkata jumlah calon yang bakal bertanding adalah rahsia buat ketika ini.

"Kami akan umumkan pada kongres akan datang," katanya.

(akalmuda.blogspot.com, 8 Januari 2008)
(Baca selanjutnya...)

Starbucks di Kampus?

"Saya terfikir kenapa tidak kita bawa Starbucks ke universiti, usaha ini boleh menggalakkan mereka melakukan perbincangan di kafe yang menyediakan perkhidmatan Wi-Fi.

"Saya tidak nampak ada halangan atau masalah yang akan timbul tetapi ia mesti dibuat di pusat pelajar, tambahan pula, banyak syarikat yang bersedia menawarkan perkhidmatan itu di universiti,''

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron

Ini sangat mengejutkan. Laporan penuh boleh dibaca di sini (dan versi yang sudah disunting).

Saya menyokong banyak usaha kerajaan, tetapi yang ini saya bantah sama sekali. Kenapa dalam banyak-banyak turutan usaha yang perlu dilaksanakan kementerian terbabit untuk universiti, yang ini didahulukan?


(i)
Menurut beliau lagi, ramai penuntut universiti yang sanggup keluar kampus untuk mengunjungi kafe Starbucks di bandar sambil melakukan tugasan mereka.
Ia cukup was-was, lagi-lagi kuantitinya. Tambahan, kalau ditanya pada rata-rata pelajar yang berkunjung ke kafe itu, jawapan mereka ialah kerana prestij. Bahkan pelajar yang memerhatikan pengunjung terbabit, turut berpandangan bahawa melepak di Starbucks menampakkan ketinggian status sosial.

Yang sanggup keluar kampus itu, tidak semestinya bermaksud mahu ke Starbucks semata-mata, tetapi ke pusat membeli-belah.

(ii)
I have not seen a single Starbucks, Coffeebean, Pizza Hut or Dominos and we are cheering. One presentor from Istanbul was lamenting that these icons of the West are destroying the traditional cafes in Turkey.
Ini persoalan budaya. Starbucks atau Dunkin Donuts bukan budaya tempatan. Apakah Timbalan Menteri ini lupa satu ketika Universiti Malaya pernah berkocak dek usaha memasukkan McDonalds ke dalam kampus itu?

Seyogianya imperialisme ekonomi seperti ini perlu dikekang. Kita ada banyak pilihan premis tempatan, kalaulah kita kemaruk sangat mahu membudayakan 'elitisme kopi' di kalangan pelajar.

Apakah gunanya MARDI mengusahakan tanaman kopi Liberica? KopieSatu keluaran FAMA (malah mula dipopularkan di Agro Bazaar di Restoran Jejantas Ayer Keroh, Melaka)? Adalah lebih baik membudayakan produk tempatan berbanding mempromosi produk Washington ini.

Satu lagi, budaya elitisme kebaratan. Kenapa beria-ia benar mahu menggalakkan 'mereka melakukan perbincangan di kafe yang menyediakan perkhidmatan Wi-Fi' dalam lingkungan budaya sebegini? Starbucks di Barat tidak lebih sekadar kedai mamak/kopitiam di sini.

Di sini, pelajar menerimanya sebagai satu prestij. Kita ambil budaya minum kopi Barat, dan kita pula iktirafnya sebagai elit (di kalangan pelajar ia sudah cukup elit - atau mungkin budaya metropolitan - tak perlu sejauh kafe di hotel lima bintang). Bermakna, 'prestij' itu seperti mahu dijadikan satu tarikan untuk berdiskusi.

Suasana elit atau berprestij belum tentu menjamin diskusi yang berprestij! Turutan usaha yang perlu didahulukan ialah memprestijkan pemikiran pelajar, bukan imejnya!

Parah betul bila universiti yang selayaknya menjadi pusat penyebar budaya (dan penganjur!), ditakluk pula oleh budaya luar.

(iii)

Peringkat umur muda (pelajar) ketika ini didominasi dengan 'perasaan inginkan perhatian' - terutamanya dalam proses menjalin hubungan cinta. Nah, menonjolkan prestij adalah salah satunya. Kita risaulah pelajar yang tak berduit cuba-cuba bergaya di kafe ini.

Kelak, masalah pengurusan kewangan pelajar akan jadi lebih serius (harga secawan Caffè Latte keluaran Starbucks lebih RM10, manakala keluaran tempatan tidak lebih RM5).

Dalam keparahan ekonomi yang terbeban ke atas kebanyakan rakyat hari ini, kenapa perlu dihadapkan lagi pada anak-anak muda yang sebahagiannya tidak begitu memahami (bahkan tidak mahu ambil peduli) akan hal itu?

Kementerian sudah membenarkan premis ini membuka francaisnya dengan harapan, pemiliknya memberi subsidi kepada pelajar. Kalaulah harganya dapat diturunkan sehingga tidak mengganggu kewangan pelajar, kita dapat berkompromi - dalam bab ini.

(iv)

Katanya, walaupun terdapat IPTA yang sudah menyediakan perkhidmatan Wi-Fi, namun ia masih belum dilakukan secara menyeluruh.

Melayari internet di Starbucks sambil menghirup kopinya yang sangat lazat memang sesuatu yang mengasyikkan bagi sesetengah orang. Tetapi masalah Wi-Fi di kampus yang dibangkitkan oleh Timbalan Menteri ini sangat meragukan.

Kenapa tidak langsung dipasang perkhidmatan Wi-Fi di kafeteria yang sedia ada di kampus? Kalau jawapan yang diberi - kementerian/universiti tidak sanggup menampung kos:

1. Biarlah pengusaha kafeteria yang menampungnya. Kadar sewa bagi penyewa premis boleh dinaikkan mengikut kos Wi-Fi (tidaklah membebankan sebab bukannya begitu mahal, apatah lagi kalau diagihkan)

2. Di fakulti, biasanya ada satu ruang pelajar berkumpul (saya tidak tahu apa istilahnya, ia banyak kerusi dan meja, sama seperti ruang kafeteria) dan kawasan ini selalunya ada capaian Wi-Fi (kalau tidak ada, alangkah sedihnya kualiti infrastruktur yang disediakan). Apalah salahnya kalau kawasan ini ada satu kiosk, atau lori bergerak yang menjual kopi/minuman yang serupa dengan nikmatnya kopi Starbucks?

3. Ataupun, serahkan saja pada badan pelajar untuk menjalankan operasi perniagaan sepertinya.

Usaha Timbalan Menteri ini takut-takut menimbulkan salah sangka. Kita ragu-ragu dan mahu tanyalah pada beliau - adakah ia ada kaitan dengan kepentingan perniagaan yang membawa untung kepada politikus/birokrat/kumpulan tertentu?

(akalmuda.blogspot.com, 26 Jun 2008)

(Baca selanjutnya...)

Khamis, 28 Ogos 2008

Catatan #1

Dalam banyak-banyak kegiatan aktivisme kampus, saya lebih berminat dengan penulisan dan jurnalisme.

Seingat saya, minat ini mulai timbul sekitar 2003. Saya memilih untuk menyertai Kelab Akhbar Mahasiswa (UPM).

Sebelum itu saya lebih terdedah dengan politik kampus, bila mengikut rakan karib saya bertanding dalam Pilihan Raya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) - sekitar 2001. Nah, di sinilah saya mulai berminat dengan kehidupan kampus.

Banyak persoalan-persoalan mula timbul mengenai politik kampus ini - dan ia sering dijawab dengan penuh keraguan.

Saya mulai mencari rujukan-rujukan, dan antara yang membuatkan saya begitu berminat untuk mendalami dunia ini ialah apabila saya bertemu buku, Lari dari Kezaliman karya Zulkifli Ahmad (terjemahan Escape From Tyranny) - bercerita tentang pengalamannya cuba melarikan diri dari ditangkap pihak berkuasa.

Zulkifli merupakan aktivis 1970-an. Beliau seangkatan Anwar Ibrahim, Kamarazaman Yaakob, Hishamudin Rais dan ramai lagi. Saat ini, hanya Hishamudin yang terlepas ke luar negara. Yang lain tertangkap.

Kelak, saya akan berusaha untuk mengulas buku ini.

Kembali kepada catatan pokok, memanglah seronok terlibat dalam aktivisme yang berbentuk "milling", agresif, lantang dan "garang" - misalnya berdemonstrasi - tetapi ada perasaan tidak selesa di sebaliknya. Saya rasakan, seperti ada lagi yang lebih memuaskan!

Dan usaha saya merujuk, bergaul dan membaca lebih banyak membantu. Selepas pada itu, saya cuba-cuba untuk menulis - dan ini sangat menyeronokkan.

Penglibatan saya dalam Kelab Akhbar Mahasiswa rupa-rupanya tidak begitu sealiran dengan kehendak akhbar rasmi UPM, Tribun Putra - sebab tulisan saya satu pun tidak disiarkan. Mungkin ia ada unsur radikal atau kiri. Saya tak peduli.

Antaranya, rungutan-rungutan pelajar berhubung isu makanan di kafeteria, nasib rumah-rumah persatuan, pengangkutan pelajar dan isu-isu yang nyata tidak menyebelahi pentadbiran.

Saya cuba hasilkan majalah sendiri. Tetapi tidak diizin cetak. Mungkin tidak berkualiti atau tidak berarus dengan budaya pentadbiran.

Ketika itu, taklukan internet masih belum sehebat hari ini. Penggunaannya masih sangat terhad. Saya hanya sempat mengenal laman Idealis Mahasiswa dan Mahasiswa Negara, itupun saya tidak menulis untuknya. Terasa kerdil.

Ada satu akhbar kemahasiswaan - Akhbar Mahasiswa Api Perjuangan - tetapi saya masih ragu-ragu dengan kemampuan saya. Jadi, saya hanya baca dan baca sahaja.

Tahun 2005, saya benar-benar mahu serius dengan penulisan. Saya nekad untuk menghimpun tulisan yang tiada medianya sebelum ini ke dalam satu makalah atau samidzat. Tajuknya Suara Mahasiswa - Cetusan Minda Anak Muda.

Ada lima esei setebal 27 muka surat. Saya menulis tentang kehilangan roh mahasiswa, seruan agar mahasiswa perlu mencipta sejarah baru (tidak hanya merujuk geng 70-an), kelemahan kuliah di kampus, sikap sukanya mahasiswa bergantung pada idea serta arahan orang tua dan kebudayaan/sosialisasi di kampus.

Saya cetak sekitar 50 naskhah dan edar pada teman-teman.

Selepas mendapat maklum balas teman-teman, naiklah tingkat keyakinan. Saya cuba-cuba hantar artikel pada Akhbar Mahasiswa Api Perjuangan - dan cubaan pertama ini diterima! Kalau tidak silap, tajuknya Mahasiswa Hilang Intelektual. Isinya berkenaan dengan bidasan ke atas tanggapan aktivis pelajar yang hanya melihat skop "student power" itu hanya pada bentuk berkonfrontasi.

Daripada usaha menulis inilah saya mulai kenal lebih akrab dengan dunia kemahasiswaan. Saya cari mana-mana buku berkaitannya. Tetapi jumlahnya sangat sedikit.

Yang diulang-ulang hanyalah Mahasiswa Menggugat & Penghayatan Sebuah Ideal(Muhamad Abu Bakar), Politik Kampus Di Sebalik Tabir & Gerakan Pelajar: Kepimpinan, Pengurusan & Cabaran (Sulaiman Al-Maniri/Shuhaimi Embong), Kebangkitan Islam di Kalangan Pelajar (Zainah Anwar), Bersama Anwar ke Penjara & Meranduk Arus (Kamarazaman Yaakob), Ledakan Ubudiyah dalam Budaya Politik Pelajar (Muhammad Nur Anuar), Mahasiswa Politik dan Undang-undang (Junaidi Abu Bakar).

Yang lain, sedikit menyentuh tentang gerakan pelajar - adalah, seperti Hak dan Tanggungjawab AUKU, kemudian buku-buku lain yang hanya menyentuh satu dua bab berhubung gerakan pelajar.
(Baca selanjutnya...)

Selasa, 26 Ogos 2008

Gie: Catatan Seorang Demonstran

Catatan harian milik Soe Hok Gie, aktivis yang menempa populariti pada zaman kemahasiswaannya, menjadi inspirasi kepada ramai pembaca yang gemar meneropong sudut-sudut fikir orang.

Catatan harian beliau sejak 4 Mac 1957, seawal umurnya pada 14 tahun, sehingga 8 Disember 1969 telah dibukukan dalam judul Soe Hok Gie: Catatan Seorang Demonstran.

Catatan Gie adalah berkisarkan tentang pengalaman dan pemikirannya terhadap sastera, sejarah, politik, cinta, kehidupan dan kematian.

Lahirnya sang aktivis

Soe Hok Gie atau popular dikenali sebagai Gie, lahir di Indonesia pada 17 Disember 1942.

Seawal umur 15 tahun, Gie sudah melahap karya sastera Shakespeare, Andre Gide, Amir Hamzah dan Spengler, malah pernah berdebat dengan gurunya berkenaan Chairil Anwar dan Rivai Apin.

Gie melanjutkan pelajaran di Universiti Indonesia pada 1961. Saat inilah beliau terjerumus ke dalam aktivisme kemahasiswaan. Bahan bacaannya juga semakin berat apabila beliau menelaah karya Bernard Shaw, George Orwell, Djilas, Koestler, Marx dan lain-lain karya politik.

Gie bersama teman-temannya pada 24 Februari 1963 pernah bertemu muka dengan Presiden Soekarno, berdialog tentang beberapa isu. Antaranya, soal ras, perkahwinan, homoseks, politik dan pndidikan nasional.

Untuk ini, Gie mencatat, “Sebagai manusia, saya kira senang pada Bung Karno, tetapi sebagai pemimpin tidak. Bagaimana ada pertanggungjawaban sosialisme melihat negara dipimpin oleh orang sebegitu?”

Rupa-rupanya dalam dialog tertutup itu, akibat terlalu tidak formal, Soekarno telah mengeluarkan hujah-hujah yang bersifat ‘tidak bermoral’, malah secara tidak sengaja membuka tembelang ‘mata keranjangnya’ terhadap wanita.

Gie yang sememangnya tidak senang pada ‘Orde Lama’, terus-menerus mengkritik kebejatan sosial era Soekarno melalui tulisannya di akhbar, serta menganjurkan perhimpunan-perhimpunan besar mahasiswa.

Tidak dapat dinafikan, tumbangnya Soekarno dipengaruhi besar oleh Gie. Gie dan teman-temannya dari seluruh Indonesia bergabung menentang barisan kepimpinan Soekarno yang tidak amanah dan gagal menjalankan tugas sebagai pemerintah.

Beliau juga antara yang terawal mengkritik rejim Orde Baru, sejurus berlakunya transisi politik Indonesia (era Soeharto).

Pengkritik yang jujur

Tulisan-tulisan Gie sangat berani, jujur, dan bertanggungjawab. Ideanya menyingkap sisi-sisi yang jarang difikir masyarakat, atau yang diabaikan. Tidak hairanlah jika yang tua mahu pun yang muda, begitu terpengaruh dengan tulisan beliau.

Mengulas zaman peralihan Soekarno-Soeharto, Gie sinis menulis, “Betapa banyaknya ketidak adilan di dunia ini. Tidak hanya di Indonesia, tetapi di mana-mana juga di seluruh dunia. Seolah-olah dunia ini tompokan sampah dari nafsu dan ketamakan manusia.

“Sebagian dari mereka berhasil dan jadi orang terhormat Gandhi, Kennedy, tetapi berjuta-juta tenggelam dalam ‘sampah-sampah’ dan hilang ditelan waktu. Tetapi yang lebih menyedihkan adalah mereka yang menemui kekecewaan kemudian dipenuhi oleh rasa benci terhadap lawannya.”

Dunia Gie tidak terbatas hanya di Indonesia. Pada 1968, beliau sempat berkunjung ke Amerika Syarikat dan Australia. Di sana, Gie bukan setakat dapat bertemu dengan kenalan-kenalan mahasiswa dan pemikir, tetapi berkesempatan untuk menyampaikan ucapan dalam pertemuannya dengan beberapa pertubuhan mahasiswa.

Gie berkiblatkan kebenaran. Teman-teman seangkatan beliau (Angkatan 66) tidak terlepas daripada kritikan apabila lupa dengan misi perjuangan. Sebahagian temannya, ketika tahun 1966 menentang pemerintah, tetapi akhirnya berpihak kepada mereka sesudah ditawarkan jawatan.

Akhir hayat

Gie gemar mendaki gunung. Pertubuhan yang diasaskannya, Mapala Univesitas Indonesia giat menjalankan kegiatan luar ini. Projek pendakian terakhir yang diusahakannya, mendaki Gunung Semeru (3.676m), menjadi tanda tanya ramai pihak.

Kenapa mesti mendaki gunung, sedangkan banyak lagi kekalutan politik yang memerlukan usaha anak muda ini?

Gie menjawab, “Seseorang hanya dapat mencintai sesuatu secara sehat kalau ia mengenal objeknya. Dan mencintai tanah air Indonesia dapat ditumbuhkan dengan mengenal Indonesia bersama rakyatnya dari dekat.

“Pertumbuhan jiwa yang sehat dari pemuda harus berarti pula pertumbuhan fisik yang sehat. Karena itulah kami naik gunung.”

8 Disember 1969, Gie memulakan projek pendakiannya. Saat inilah catatan akhir beliau ditulis sebelum menghembus nafas terakhir pada 16 Disember 1969, sehari sebelum ulang tahun kelahirannya ke-29 akibat terhidu gas beracun (lava gunung berapi).

Catatannya seperti ini, “Saya tak tahu apa yang terjadi dengan diri saya. Setelah saya mendengar kematian Kian Fong dari Arief hari minggu yang lalu.

Saya juga punya perasaan untuk selalu ingat pada kematian. Saya ingin mengobrol-ngobrol pamit sebelum ke Semeru. Dengan Maria, Rina dan juga ingin membuat acara yang intim dengan Sunarti. Saya kira ini adalah pengaruh atas kematian Kian Fong yang begitu aneh dan begitu cepat.”

24 Disember, mayatnya dikebumikan di perkuburan Menteng Pulo, kemudian di pindahkan ke perkuburan Kober, Tanah Abang dua hari selepas itu. Bagaimanapun, teman-temannya berpendapat lebih baik mayatnya dibakar dan abunya ditabur di puncak gunung.
Mayat Gie kemudiannya dibakar dan abunya ditabur di puncak Gunung Pangrango.

Gie dalam layar

Watak Rangga (lakonan Nicholas Saputra) dalam filem Ada Apa Dengan Cinta (2001) sebenarnya merupakan adaptasi susuk Gie oleh penerbit Mira Lesmana. Mira seorang pengkagum Gie yang dikenalinya melalui himpunan catatan harian Gie.

Tetapi, Mira rupanya tersilap mentafsir sikap Gie – bukannya dingin, introvert atau angkuh seperti watak Rangga.

Sebuah filem mula diusahakan oleh Mira dua tahun selepas itu, diterbitkan khusus mengenai kehidupan Gie, berjudul GIE (2005). Watak Gie dilakonkan oleh Nicholas Saputra, sekali lagi.
(Baca selanjutnya...)

Kamarazaman Yaakob (Aktivis UM 70-an)

Baru-baru ini saya bertemu Kamarazaman Yaakob, aktivis pelajar 1970-an (Presiden PMUM 1973/1974) di Kelana Jaya.

Pada 21 September 1974, beliau bersama 2000 pelajar menyerbu bangunan Canselori UM, mengambil alih pentadbiran universiti berkenaan. Puncanya, tribulasi penahanan Hishamudin Rais, Abu Zer Ali, Yunus Ali dan Adi Satria kesan peristiwa di Tasek Utara.

Ini dikira sebagai peristiwa politikal pelajar yang besar.

Kalau mengikut cerita Kamarazaman, aktivisme pelajar ketika itu sebenarnya digerakkan oleh pelajar-pelajar ini (aliran sosialisme), tidak sampai 20 orang. Kumpulan-kumpulan yang berlabel islamis dan nasionalis (termasuk kumpulan pelajar cina) saling berkonflik.

Maksudnya, geng Kamarazaman yang mencaturkan aktivisme pelajar ketika itu.


Saya ajukan pada beliau, idealisme pelajar sangat, bahkan bila ditelan umur, ia jadi sangat kontra. Masa muda marhaenis, bila 'besar' jadi lain. Jawabnya, manusia berubah mengikut keadaan. China dan Russia tidak berpanjangan dengan sosialisme.

Mungkin kita boleh tafsirkan, sebelum jadi tua, lebih baik berhempas pulas dengan 'kejernihan' masa muda. Nanti bila sudah tua, lain jadinya!

(akalmuda.blogspot.com, 22 November 2006)
(Baca selanjutnya...)

Salleh Hj Yusof (Aktivis UM 60-an)

Apa kemampuan mahasiswa untuk berdebat dengan ahli Parlimen? Tidak kisahlah aliran politiknya ke kanan atau ke kiri - mahasiswa sudah tidak ada keupayaan untuk itu.

Menurut Pak Salleh (Salleh Hj Yusof)*, aktivis pelajar 1960-an, kalau dibuat perbandingan dengan mahasiswa sezamannya, akan menampakkan keputusan yang tidak adil.

Masakan tidak, wakil rakyat ketika zaman itu pun ada yang setakat bersekolah sampai darjah 3!

Berbeza pula cabarannya berbanding mahasiswa kini andainya mahu berdepan dengan ahli Parlimen, yang berpendidikan lebih tinggi.

Sayangnya keterbatasan ini tidak cuba dilangkaui oleh aktivis mahasiswa kita.

Ada dua kebarangkalian berhubung hal ini. Pertama, kerangka hujah dibentuk melalui tekanan politikal (politik nasional).

Kedua, mahasiswa sebagai struktur 'ikon masyarakat' atau jurubicara masyarakat (dan banyak lagi nama struktur berdasarkan fungsinya - mendepani atau mengimbangi masyarakat) tidak boleh lagi digunakan. Fungsi tersebut sudah menjadi milik ahli Parlimen.

Aktivisme mahasiswa pula boleh diukur pada dua aliran, sama ada mengikut ahli Parlimen kerajaan atau lawannya.

*Salleh Hj Yusof merupakan aktivis pelajar 1960-an, bekas Pengarang Mahasiswa Negara. Beliau gemar mengumpul bahan sejarah mengenai gerakan pelajar. Koleksinya hampir memenuhi sebuah rumah!

(akalmuda.blogspot.com, 13 Januari 2007)
(Baca selanjutnya...)

Mazlan Osman (Aktivis UPSI 70-an)

Betapa seronoknya golongan veteran kalau anak muda seperti kita ghairah mencungkil sejarah mereka.

Mazlan Osman, bekas aktivis pelajar 70-an dan 80-an mungkin tidak dipopularkan sebaris geng-geng nostalgia 70-an yang lain.

Tetapi sejarahnya besar. UPSI (ketika itu maktab) pada 1973 pernah digegarkan oleh beliau kerana tuntutan kerasnya mendesak elaun untuk guru yang mengaji di situ.

Mazlan yang ketika itu menjawat Pengerusi Perhubungan Luar PMMPSI (jawatan popular selepas Setiausaha Agung) telah didesak membuat permohonan maaf kepada banyak pihak.

Untuk lanjutan, barangkali saya akan menyiarkannya dalam Akhbar Mahasiswa edisi akan datang.

Setakat ini, yang menarik untuk kita kongsi bersama ialah ideanya berhubung sistem mentor-mentee di kalangan pelajar.

Katanya, setiap pelajar mesti menjadi mentor kepada 4 orang pelajar junior. Fungsinya ialah memastikan setiap menteenya cemerlang akademik, termasuklah kokurikulum.

Setiap mentee, kemudiannya mesti membuat perkara yang sama. Kegagalan berbuat demikian mengakibatkan beberapa keistimewaan seperti biasiswa atau pinjaman, ditahan.

Keras bukan? Tetapi menurutnya, inilah sistem yang pernah dipraktikkan oleh bangsa Yahudi.

(akalmuda.blogspot.com, 20 Januari 2007)
(Baca selanjutnya...)

Isnin, 25 Ogos 2008

Politik Kasih Sayang - Dr Asyraf

Parlimen Tumpat menyaksikan pertembungan dua calon berlainan generasi dalam pilihan raya tempoh hari. BN menampilkan calon muda, Dr Asyraf Wajdi Dusuki (27,337 undi), tewas kepada calon Pas, Dato' Hj Kamaruddin Jaafar (36,714 undi).

Dr Asyraf merupakan bekas Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pada 1999-2001, sebuah pertubuhan pelajar yang dilabel berhaluan kiri (dalam politik kampus). Latar belakang beliau boleh dibaca di sini.

Semalam saya bertemu beliau di ibu kota dan sempat bertanyakan beberapa soalan:


Penyertaan Dr dalam Umno mendapat kritikan daripada kelompok pelajar (dan bekas pelajar) berhaluan kiri, hingga ada yang menganggap Dr sebagai petualang kerana lari daripada haluan perjuangan. Komen Dr?

Mahasiswa jangan terikat dengan mana-mana parti. Maksudnya, kita tidak terikat dengan belenggu partisan. Mahasiswa kena objektif, berjuang atas dasar kebenaran dan keadilan. Yang betul, kita kata betul. Yang salah , kita kata salah. Itu konsep Islam pun. Saya selalu sebut, jangan kerana kebencian kita pada sesuatu kaum, kita tak berlaku adil.

Sehingga hari ini saya masih pegang pada prinsip itu. Kalau tak betul, saya kata tak betul. Tapi kalau kritik, kita kritik secara hikmah, bijaksana, secara ilmiah. Tapi kalau terikat dengan cara partisan, jadi lain.

Maksudnya?

Cara parti ini, kalau betul ke salah, kita sokong parti. Kita macam taksub, assabiyah. Assabiyah bukan soal perjuangan bangsa. Orang kata UMNO assabiyah, kadang-kadang Pas pun lebih assabiyah daripada UMNO.

Assabiyah ini, bila seorang sahabat tanya Rasulullah, apa dia assabiyah - apabila kamu tolong saudara kamu dalam perbuatan zalim. Itulah assabiyah. Dia buat betul kata betul, dia buat salah pun kata betul.

Ketika dalam PKPIM, Dr boleh dikatakan pemimpin pelajar yang prolifik, kerap menulis. Kadangkala tulisan Dr dilihat lantang mengkritik. Sehingga hari ini, Dr masih dengan pendirian seperti itu?

Saya tetap bawa walaupun bukan pelajar. Macam saya kata tadi, yang benar kita kata benar, yang salah tetap salah. Tiada perubahan pun. Lihat artikel atau komen-komen saya di website saya. Cuma dulu platform saya di PKPIM, hari ini saya proUMNO.

Generasi muda perlu mempelopori idea politik baru yang bebas daripada elemen taksub, fanatik dan pemikiran yang melampau. Kita boleh bersuara berasaskan ilmu. Yang saya bawa, politik dakwah, politik kasih sayang.

Kalau kita bersikap dendam dan benci, selama-lamanya orang Islam dan Melayu tidak akan bersatu. Kita cuma berbeza parti, bukan berbeza akidah.

  • Untuk mengetahui lanjut perjalanan politik Dr Asyraf, khususnya penyertaan beliau dalam UMNO, layari laman blog beliau.
  • Laman peribadi beliau boleh dilawati di AsyrafWajdi.com
  • Untuk menonton klip video ceramah kempen pilihan raya beliau, klik di sini (penjelasan beliau berkenaan politik kasih sayang).
(Baca selanjutnya...)

Takshashila

Perdebatan menentukan universiti pertama dunia masih berlangsung akibat kontradiksi pendefinisian 'universiti' dan 'institusi pengajian tinggi'.

Untuk 'universiti' yang mengguna tafsiran universitas (Latin), kebarangkalian besar ditujukan pada University of Takshashila (abad ke-5 SM, ada sejarawan menjangka abad ke-7 SM - lewat Zaman Vedic) yang terletak di Taxila, berhampiran Islamabad.


Takshashila menghimpun banyak sejarah besar, selain menjadi tempat percambahan cabang Buddhisme - Mahayana.

Antaranya, nama Takshashila itu sendiri dalam bahasa Sanskrit bermaksud, 'milik Raja Taksha'. Raja Taksha penemu bandar Taxila. Beliau anak kepada Bharata (abang Rama) dan Mandavi (sepupu Sita).

Perdana Menteri pertama era Maurya, juga mentor untuk Maharaja Chandragupta (pengasas Empayar Maurya), Chanakya, pernah menjadi pensyarah (kanan) politik di universiti ini.

Wacana agung Artashashtra (himpunan wacana politik dan ekonomi) yang 'bersembunyi' di sebalik nama pengarang Kautilya dan Visnugupta, sebenarnya buah fikir Chanakya. Beliau dikatakan menyiapkannya di universiti ini.

Chanakya digelar Jawaharlal Nehru sebagai 'Indian Machiavelli', dan sosiologis Max Webber merujuknya sebagai 'truly radical of Machiavellism'.

Universiti ini turut menempatkan tokoh-tokoh lain seperti pakar tatabahasa Sanskrit Panini dan tabib Charaka.

Satu lagi yang disebut-sebut sebagai universiti pertama dunia ialah Shangyang (2257-2208 SM) kalau 'mengikut definisi 'institusi pengajian tinggi'.*

Terletak di China, Shangyang mengajar enam bidang ilmu, yang tiga daripadanya beraliran utilitarianisme - memanah, mengendali kereta kuda perang chariot, dan matematik. Kesemuanya mengikut keperluan kontemporari Dinasti Zhou.

University of Takshashila, selain mengajar bidang agama (empat Veda), turut mengajar ilmu beraliran utilitarianisme seperti perubatan, memanah, memburu, menunggang gajah dan lain-lain ilmu perang.

Aliran utilitarianisme condong ke arah ilmu praktikal yang kalau dilihat pada dua institusi pendidikan di atas, merujuk pada keperluan kontemporari.

Satu lagi aliran, iaitu sentimentalisme (knowledge for knowledge sake) mula menjadi tema universiti semenjak Akedemeia ditubuhkan oleh Plato (385 SM). Istilah academia merujuk kepada aliran ilmu sepertinya.

Kalau mengikut dasar kepentingan pendidikan Shangyang dan Takshashila, ternyata universiti di Malaysia mengamalkan bentuk pendidikan sepertinya (dan peratusan kecil academia).

Kenapa?

Sebab tuntutan supaya universiti mengembalikan fungsi academia tidak mendatangkan hasil, berbanding tuntutan hampir semua kelompok masyarakat terhadap perlunya universiti menghasilkan siswazah yang berpotensi kerja.

*University Al-Azhar juga didebatkan kedudukannya sebagai universiti pertama. Sila ke satu forum perbahasan ringkas tentang kedudukan universiti tertua dunia.
(Baca selanjutnya...)

Fantasi Pembudayaan di Universiti

Dalam banyak-banyak akademi yang direbut oleh anak-anak muda Malaysia (khususnya Bumiputera), antara yang tersohor lima tahun kebelakangan ini ialah Akademi Fantasia.

Bagi anda yang masih baru mempelajari budaya glokal Malaysia, Akademi Fantasia merupakan satu siri realiti televisyen berbayar yang berorientasikan pertandingan nyanyian.

Di akademi ini, para pelajar diberi pendidikan seni nyanyi, tari, persembahan dan penampilan diri. Akademi ini turut menjadi buah perdebatan dan polemik berhubung dampak baik dan buruknya – industri muzik vis-à-vis etika moral, isu perbelanjaan isi rumah (undi SMS), pengundian yang tidak adil dan beberapa yang lain.

Tidak kisahlah apa pun percanggahan yang timbul, kerana yang tidak wajar sebenarnya ialah penggunaan istilah Fantasia.

Istilah Fantasia agaknya dipakai bagi menggambar betapa akademi ini dijangka mampu memenuhi fantasi atau impian anak muda yang ingin menempa populariti atau menjadi selebriti yang berpakej lengkap (pandai menyanyi, menari, menghibur dan berketrampilan).

Bagaimanapun, jika diukur dari sudut kepraktisannnya, tidaklah dapat disangkal bahawa akademi ini begitu berjaya. Kebanyakan graduannya sudah pun popular, versatil (ada yang menjadi pelakon, model iklan, pengacara dan DJ radio), memenangi anugerah dan semakin berduit – walaupun bukan bekas juara.

Akademi ini turut berjaya mencipta budayanya tersendiri, malah berjaya mengagihkannya kepada umum. Misalnya budaya komersial hiburan (seperti undi SMS), fesyen dan fad (misalnya personaliti Mawi), merevolusi seni muzik dan persembahan, serta mempengaruhi kelakuan sosial keluarga (berkumpul setiap malam minggu sambil menonton Astro).

Ini bermakna, keberhasilan Akademi Fantasia tidak lagi layak dikatakan gambaran fantasi berbanding satu lagi akademi yang masih menjadi fantasi bagi sebilangan intelektual, akademikus dan aktivis.

Universiti, atau di Malaysia dimaksudkan dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), dilihat tidak memenuhi capaian yang digambarkan oleh kelompok tadi.

Hal yang demikian dapat diukur berdasarkan beberapa aspek, antaranya budaya yang berlangsung (dan pembudayaannya), selain aspek falsafah, akademik dan kualiti.

Di kalangan kelompok tadi, ada yang mengidamkan agar universiti kebal (immune) daripada menyerap budaya luar yang tidak wajar (luar lingkungan budaya universiti). Malah, universiti turut diharapkan mampu memperkenalkan budaya sendiri serta menyebarkannya kepada umum.

Sebaliknya, apa yang berlaku ialah universiti terperosok ke dalam budaya arus perdana (mainstream), baik dari kelakuan birokrat sehinggalah pelajarnya.

Kita dapat perhatikan bagaimana kalangan birokrat universiti berpolitiking (mirip politik dalaman parti), pelajar terikut-ikut budaya parti politik nasional, aktivisme, korupsi, hubungan pensyarah-pelajar, kawalan kuasa, kegiatan luar pelajar dan banyak lagi kelakuan yang mirip budaya arus perdana – menunjukkan universiti tidak berfungsi sebagai pusat kebudayaan.

Budaya politik, perebutan kuasa kalangan birokrat (di beberapa buah universiti) memperlihatkan kecenderungan pada budaya politik nasional, yang semacam menjelangnya proses pemilihan jawatan dalam parti (di univesiti, ketika tempoh kontrak jawatan hampir tamat).

Antaranya, penyebaran propaganda di tempat kerja dan internet, bernaung di bawah kuasa pemimpin politik, wujud ‘kem-kem’ (kepuakan) di kalangan mereka, bahkan terdapat pula kegiatan meletakkan proksi parti politik bagi melicinkan penyusupan parti tersebut ke dalam universiti (kaderisasi).

Oleh yang demikian, apakah istimewanya universiti berbanding institusi sosial yang lain kalau tiada ketulenan budaya – sehinggakan tiada budaya politik yang dapat dieksport untuk kegunaan politik nasional? Yang berlaku ialah kebalikannya.

Di kalangan pelajar, budaya menopang pada parti politik amat mendominasi kepraktisan politik kampus. Yang lahir di universiti ialah proksi atau kader-kader parti politik yang membawa gerakan parti topangannya, bukan ideologi tulen.

Pertembungan kumpulan yang ditunjukkan tidak lain propembangkang vis-à-vis prokerajaan, tanpa cuba berpisah daripada label-label berkenaan.

Kita tidak nampak budaya politik tulen universiti, tanpa menyedari (atau sudah menyedari, tetapi merelakan) bahawa gerakan tersebut lebih menguntungkan parti politik berbanding universiti – walhal pada masa yang sama menuntut autonomi universiti.

Akibatnya, lihat pula bagaimana pihak pentadbir dan kementerian terpaksa terjun dalam gelumang politik kampus, yang membataskan usaha lain yang lebih wajar (seperti kegiatan akademik).

Kenapa tidak bertopangkan pada keperluan pelajar atau universiti itu sendiri? Misalnya, kumpulan pelajar sentimentalis (mahukan universiti menjadi pusat keilmuan semata-mata) vis-à-vis utilitarian (mahukan universiti menghasilkan tenaga kerja).

Atau jika terlalu utopia, cukup sekadar mengasingkan campur-baur parti politik nasional, itu pun sudah cukup baik.

Kedua, aktivisme pelajar. Aktivis pelajar (yang ‘lebih cerah’ pemikirannya terhadap isu sosial) diharapkan mampu menapis budaya arus perdana dan budaya tidak wajar daripada orang dewasa – sebab kita tidak dapat menemui lain-lain ragam minat pelajar yang berpotensi untuk fungsi ini (pembudayaan).

Sayangnya, ia masih gagal, walau selantang mana pun aktivis tersebut (kalau pun ada, mereka gagal menyebarkan budaya itu).

Ambil contoh, aktivis pelajar yang popular, perhatikan kelakuannya sebagai sampel. Ruang aktivismenya gagal menembus ke luar lingkungan budaya arus perdana dan sejarah aktivisme pelajar, baik pemikiran mahu pun gerakannya.

Jika media arus perdana memaparkan isu tertentu, aktivis berkenaan tidak ada daya tangkis (resistance) untuk menahan daripada menumpukan isu yang sama – biar pun isu itu kitar semula, atau tidak perlu untuk disibukkan. Aktivis berkenaan terikut-ikut dengan penetapan agenda media itu.

Sebab itulah kita dapat lihat komentar atau gerakannya semacam ulang cetak – seperti kes Lina Joy, hanyalah berlegar-legar di lingkar masalah murtad dan mengkritik Suruhanjaya Antara Agama (IFC) - akibat terlalu menuruti arus perdana (bersumberkan media arus perdana dan mengutip komentar awam).

Maka yang demikian, tidaklah dapat kita temui aktivis yang mengemukakan jawapan bagi konflik kuasa sivil vis-à-vis syariah, persoalan agama hak individu atau kolektif, tuntutan liberalisme vis-à-vis hukum agama atau mencari punca ketempangan pendidikan (kaedah menerapkan Ihsan, Rukun Iman dan Islam dalam hidup) serta lain-lain kupasan di luar lingkar arus budaya perdana.

Kita juga boleh menyenarai pendek beberapa kebuntuan aktivis pelajar dalam menggerakkan aktivismenya. Antaranya, pengulangan hujah longgar dalam membuat tuntutan mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), mengecam penyelewengan Sekreteriat Pilihan Raya (SPR) Majlis Perwakilan Pelajar – seraya melancarkan boikot, mengecam campur tangan pentadbir universiti, demonstrasi lawan kementerian dan lain-lain.

Gerakan inilah yang dilakukan berulang-ulang saban tahun, tanpa ada penyegaran semula atau menghadapkan isu yang lebih penting.

Idealisme aktivis pelajar turut terbatas dengan bentuk aktivisme kumpulan terdahulu (misalnya barisan aktivis pelajar lewat 60-an dan 70-an) tanpa melihat bahawa mengagaskan kumpulan penterjemah karya sastera klasik itu satu bentuk aktivisme, atau kumpulan penggodam internet, atau pencinta hidupan sungai, atau kumpulan jurnalis – yang kesemuanya tulen atau lebih baik daripada budaya arus perdana.

Jadi, budaya aktivis pelajar tidak dapat berpisah daripada tarikan budaya klise seperti itu.

Bila bercakap tentang slogan ‘mahasiswa ejen merubah masyarakat’, apakah potensi untuk mencapainya sekiranya mencipta budaya kemahasiswaan sendiri telah gagal, bahkan menyebarkannya?
(Baca selanjutnya...)