Khamis, 28 Ogos 2008

Catatan #1

Dalam banyak-banyak kegiatan aktivisme kampus, saya lebih berminat dengan penulisan dan jurnalisme.

Seingat saya, minat ini mulai timbul sekitar 2003. Saya memilih untuk menyertai Kelab Akhbar Mahasiswa (UPM).

Sebelum itu saya lebih terdedah dengan politik kampus, bila mengikut rakan karib saya bertanding dalam Pilihan Raya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) - sekitar 2001. Nah, di sinilah saya mulai berminat dengan kehidupan kampus.

Banyak persoalan-persoalan mula timbul mengenai politik kampus ini - dan ia sering dijawab dengan penuh keraguan.

Saya mulai mencari rujukan-rujukan, dan antara yang membuatkan saya begitu berminat untuk mendalami dunia ini ialah apabila saya bertemu buku, Lari dari Kezaliman karya Zulkifli Ahmad (terjemahan Escape From Tyranny) - bercerita tentang pengalamannya cuba melarikan diri dari ditangkap pihak berkuasa.

Zulkifli merupakan aktivis 1970-an. Beliau seangkatan Anwar Ibrahim, Kamarazaman Yaakob, Hishamudin Rais dan ramai lagi. Saat ini, hanya Hishamudin yang terlepas ke luar negara. Yang lain tertangkap.

Kelak, saya akan berusaha untuk mengulas buku ini.

Kembali kepada catatan pokok, memanglah seronok terlibat dalam aktivisme yang berbentuk "milling", agresif, lantang dan "garang" - misalnya berdemonstrasi - tetapi ada perasaan tidak selesa di sebaliknya. Saya rasakan, seperti ada lagi yang lebih memuaskan!

Dan usaha saya merujuk, bergaul dan membaca lebih banyak membantu. Selepas pada itu, saya cuba-cuba untuk menulis - dan ini sangat menyeronokkan.

Penglibatan saya dalam Kelab Akhbar Mahasiswa rupa-rupanya tidak begitu sealiran dengan kehendak akhbar rasmi UPM, Tribun Putra - sebab tulisan saya satu pun tidak disiarkan. Mungkin ia ada unsur radikal atau kiri. Saya tak peduli.

Antaranya, rungutan-rungutan pelajar berhubung isu makanan di kafeteria, nasib rumah-rumah persatuan, pengangkutan pelajar dan isu-isu yang nyata tidak menyebelahi pentadbiran.

Saya cuba hasilkan majalah sendiri. Tetapi tidak diizin cetak. Mungkin tidak berkualiti atau tidak berarus dengan budaya pentadbiran.

Ketika itu, taklukan internet masih belum sehebat hari ini. Penggunaannya masih sangat terhad. Saya hanya sempat mengenal laman Idealis Mahasiswa dan Mahasiswa Negara, itupun saya tidak menulis untuknya. Terasa kerdil.

Ada satu akhbar kemahasiswaan - Akhbar Mahasiswa Api Perjuangan - tetapi saya masih ragu-ragu dengan kemampuan saya. Jadi, saya hanya baca dan baca sahaja.

Tahun 2005, saya benar-benar mahu serius dengan penulisan. Saya nekad untuk menghimpun tulisan yang tiada medianya sebelum ini ke dalam satu makalah atau samidzat. Tajuknya Suara Mahasiswa - Cetusan Minda Anak Muda.

Ada lima esei setebal 27 muka surat. Saya menulis tentang kehilangan roh mahasiswa, seruan agar mahasiswa perlu mencipta sejarah baru (tidak hanya merujuk geng 70-an), kelemahan kuliah di kampus, sikap sukanya mahasiswa bergantung pada idea serta arahan orang tua dan kebudayaan/sosialisasi di kampus.

Saya cetak sekitar 50 naskhah dan edar pada teman-teman.

Selepas mendapat maklum balas teman-teman, naiklah tingkat keyakinan. Saya cuba-cuba hantar artikel pada Akhbar Mahasiswa Api Perjuangan - dan cubaan pertama ini diterima! Kalau tidak silap, tajuknya Mahasiswa Hilang Intelektual. Isinya berkenaan dengan bidasan ke atas tanggapan aktivis pelajar yang hanya melihat skop "student power" itu hanya pada bentuk berkonfrontasi.

Daripada usaha menulis inilah saya mulai kenal lebih akrab dengan dunia kemahasiswaan. Saya cari mana-mana buku berkaitannya. Tetapi jumlahnya sangat sedikit.

Yang diulang-ulang hanyalah Mahasiswa Menggugat & Penghayatan Sebuah Ideal(Muhamad Abu Bakar), Politik Kampus Di Sebalik Tabir & Gerakan Pelajar: Kepimpinan, Pengurusan & Cabaran (Sulaiman Al-Maniri/Shuhaimi Embong), Kebangkitan Islam di Kalangan Pelajar (Zainah Anwar), Bersama Anwar ke Penjara & Meranduk Arus (Kamarazaman Yaakob), Ledakan Ubudiyah dalam Budaya Politik Pelajar (Muhammad Nur Anuar), Mahasiswa Politik dan Undang-undang (Junaidi Abu Bakar).

Yang lain, sedikit menyentuh tentang gerakan pelajar - adalah, seperti Hak dan Tanggungjawab AUKU, kemudian buku-buku lain yang hanya menyentuh satu dua bab berhubung gerakan pelajar.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Syabas !! Sronok Baca Pengembaraan Hidup Sebegini. Teruskan Perjuangan Anda Dalam Mendidik Mahasiswa.

Wassalam..

http://www.kempenkitamestibersatu.com