Isnin, 25 Ogos 2008

Takshashila

Perdebatan menentukan universiti pertama dunia masih berlangsung akibat kontradiksi pendefinisian 'universiti' dan 'institusi pengajian tinggi'.

Untuk 'universiti' yang mengguna tafsiran universitas (Latin), kebarangkalian besar ditujukan pada University of Takshashila (abad ke-5 SM, ada sejarawan menjangka abad ke-7 SM - lewat Zaman Vedic) yang terletak di Taxila, berhampiran Islamabad.


Takshashila menghimpun banyak sejarah besar, selain menjadi tempat percambahan cabang Buddhisme - Mahayana.

Antaranya, nama Takshashila itu sendiri dalam bahasa Sanskrit bermaksud, 'milik Raja Taksha'. Raja Taksha penemu bandar Taxila. Beliau anak kepada Bharata (abang Rama) dan Mandavi (sepupu Sita).

Perdana Menteri pertama era Maurya, juga mentor untuk Maharaja Chandragupta (pengasas Empayar Maurya), Chanakya, pernah menjadi pensyarah (kanan) politik di universiti ini.

Wacana agung Artashashtra (himpunan wacana politik dan ekonomi) yang 'bersembunyi' di sebalik nama pengarang Kautilya dan Visnugupta, sebenarnya buah fikir Chanakya. Beliau dikatakan menyiapkannya di universiti ini.

Chanakya digelar Jawaharlal Nehru sebagai 'Indian Machiavelli', dan sosiologis Max Webber merujuknya sebagai 'truly radical of Machiavellism'.

Universiti ini turut menempatkan tokoh-tokoh lain seperti pakar tatabahasa Sanskrit Panini dan tabib Charaka.

Satu lagi yang disebut-sebut sebagai universiti pertama dunia ialah Shangyang (2257-2208 SM) kalau 'mengikut definisi 'institusi pengajian tinggi'.*

Terletak di China, Shangyang mengajar enam bidang ilmu, yang tiga daripadanya beraliran utilitarianisme - memanah, mengendali kereta kuda perang chariot, dan matematik. Kesemuanya mengikut keperluan kontemporari Dinasti Zhou.

University of Takshashila, selain mengajar bidang agama (empat Veda), turut mengajar ilmu beraliran utilitarianisme seperti perubatan, memanah, memburu, menunggang gajah dan lain-lain ilmu perang.

Aliran utilitarianisme condong ke arah ilmu praktikal yang kalau dilihat pada dua institusi pendidikan di atas, merujuk pada keperluan kontemporari.

Satu lagi aliran, iaitu sentimentalisme (knowledge for knowledge sake) mula menjadi tema universiti semenjak Akedemeia ditubuhkan oleh Plato (385 SM). Istilah academia merujuk kepada aliran ilmu sepertinya.

Kalau mengikut dasar kepentingan pendidikan Shangyang dan Takshashila, ternyata universiti di Malaysia mengamalkan bentuk pendidikan sepertinya (dan peratusan kecil academia).

Kenapa?

Sebab tuntutan supaya universiti mengembalikan fungsi academia tidak mendatangkan hasil, berbanding tuntutan hampir semua kelompok masyarakat terhadap perlunya universiti menghasilkan siswazah yang berpotensi kerja.

*University Al-Azhar juga didebatkan kedudukannya sebagai universiti pertama. Sila ke satu forum perbahasan ringkas tentang kedudukan universiti tertua dunia.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya nk th ciri2 bandar taxila..
nk wat kajian sblom pergi