Isnin, 25 Ogos 2008

Fantasi Pembudayaan di Universiti

Dalam banyak-banyak akademi yang direbut oleh anak-anak muda Malaysia (khususnya Bumiputera), antara yang tersohor lima tahun kebelakangan ini ialah Akademi Fantasia.

Bagi anda yang masih baru mempelajari budaya glokal Malaysia, Akademi Fantasia merupakan satu siri realiti televisyen berbayar yang berorientasikan pertandingan nyanyian.

Di akademi ini, para pelajar diberi pendidikan seni nyanyi, tari, persembahan dan penampilan diri. Akademi ini turut menjadi buah perdebatan dan polemik berhubung dampak baik dan buruknya – industri muzik vis-à-vis etika moral, isu perbelanjaan isi rumah (undi SMS), pengundian yang tidak adil dan beberapa yang lain.

Tidak kisahlah apa pun percanggahan yang timbul, kerana yang tidak wajar sebenarnya ialah penggunaan istilah Fantasia.

Istilah Fantasia agaknya dipakai bagi menggambar betapa akademi ini dijangka mampu memenuhi fantasi atau impian anak muda yang ingin menempa populariti atau menjadi selebriti yang berpakej lengkap (pandai menyanyi, menari, menghibur dan berketrampilan).

Bagaimanapun, jika diukur dari sudut kepraktisannnya, tidaklah dapat disangkal bahawa akademi ini begitu berjaya. Kebanyakan graduannya sudah pun popular, versatil (ada yang menjadi pelakon, model iklan, pengacara dan DJ radio), memenangi anugerah dan semakin berduit – walaupun bukan bekas juara.

Akademi ini turut berjaya mencipta budayanya tersendiri, malah berjaya mengagihkannya kepada umum. Misalnya budaya komersial hiburan (seperti undi SMS), fesyen dan fad (misalnya personaliti Mawi), merevolusi seni muzik dan persembahan, serta mempengaruhi kelakuan sosial keluarga (berkumpul setiap malam minggu sambil menonton Astro).

Ini bermakna, keberhasilan Akademi Fantasia tidak lagi layak dikatakan gambaran fantasi berbanding satu lagi akademi yang masih menjadi fantasi bagi sebilangan intelektual, akademikus dan aktivis.

Universiti, atau di Malaysia dimaksudkan dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), dilihat tidak memenuhi capaian yang digambarkan oleh kelompok tadi.

Hal yang demikian dapat diukur berdasarkan beberapa aspek, antaranya budaya yang berlangsung (dan pembudayaannya), selain aspek falsafah, akademik dan kualiti.

Di kalangan kelompok tadi, ada yang mengidamkan agar universiti kebal (immune) daripada menyerap budaya luar yang tidak wajar (luar lingkungan budaya universiti). Malah, universiti turut diharapkan mampu memperkenalkan budaya sendiri serta menyebarkannya kepada umum.

Sebaliknya, apa yang berlaku ialah universiti terperosok ke dalam budaya arus perdana (mainstream), baik dari kelakuan birokrat sehinggalah pelajarnya.

Kita dapat perhatikan bagaimana kalangan birokrat universiti berpolitiking (mirip politik dalaman parti), pelajar terikut-ikut budaya parti politik nasional, aktivisme, korupsi, hubungan pensyarah-pelajar, kawalan kuasa, kegiatan luar pelajar dan banyak lagi kelakuan yang mirip budaya arus perdana – menunjukkan universiti tidak berfungsi sebagai pusat kebudayaan.

Budaya politik, perebutan kuasa kalangan birokrat (di beberapa buah universiti) memperlihatkan kecenderungan pada budaya politik nasional, yang semacam menjelangnya proses pemilihan jawatan dalam parti (di univesiti, ketika tempoh kontrak jawatan hampir tamat).

Antaranya, penyebaran propaganda di tempat kerja dan internet, bernaung di bawah kuasa pemimpin politik, wujud ‘kem-kem’ (kepuakan) di kalangan mereka, bahkan terdapat pula kegiatan meletakkan proksi parti politik bagi melicinkan penyusupan parti tersebut ke dalam universiti (kaderisasi).

Oleh yang demikian, apakah istimewanya universiti berbanding institusi sosial yang lain kalau tiada ketulenan budaya – sehinggakan tiada budaya politik yang dapat dieksport untuk kegunaan politik nasional? Yang berlaku ialah kebalikannya.

Di kalangan pelajar, budaya menopang pada parti politik amat mendominasi kepraktisan politik kampus. Yang lahir di universiti ialah proksi atau kader-kader parti politik yang membawa gerakan parti topangannya, bukan ideologi tulen.

Pertembungan kumpulan yang ditunjukkan tidak lain propembangkang vis-à-vis prokerajaan, tanpa cuba berpisah daripada label-label berkenaan.

Kita tidak nampak budaya politik tulen universiti, tanpa menyedari (atau sudah menyedari, tetapi merelakan) bahawa gerakan tersebut lebih menguntungkan parti politik berbanding universiti – walhal pada masa yang sama menuntut autonomi universiti.

Akibatnya, lihat pula bagaimana pihak pentadbir dan kementerian terpaksa terjun dalam gelumang politik kampus, yang membataskan usaha lain yang lebih wajar (seperti kegiatan akademik).

Kenapa tidak bertopangkan pada keperluan pelajar atau universiti itu sendiri? Misalnya, kumpulan pelajar sentimentalis (mahukan universiti menjadi pusat keilmuan semata-mata) vis-à-vis utilitarian (mahukan universiti menghasilkan tenaga kerja).

Atau jika terlalu utopia, cukup sekadar mengasingkan campur-baur parti politik nasional, itu pun sudah cukup baik.

Kedua, aktivisme pelajar. Aktivis pelajar (yang ‘lebih cerah’ pemikirannya terhadap isu sosial) diharapkan mampu menapis budaya arus perdana dan budaya tidak wajar daripada orang dewasa – sebab kita tidak dapat menemui lain-lain ragam minat pelajar yang berpotensi untuk fungsi ini (pembudayaan).

Sayangnya, ia masih gagal, walau selantang mana pun aktivis tersebut (kalau pun ada, mereka gagal menyebarkan budaya itu).

Ambil contoh, aktivis pelajar yang popular, perhatikan kelakuannya sebagai sampel. Ruang aktivismenya gagal menembus ke luar lingkungan budaya arus perdana dan sejarah aktivisme pelajar, baik pemikiran mahu pun gerakannya.

Jika media arus perdana memaparkan isu tertentu, aktivis berkenaan tidak ada daya tangkis (resistance) untuk menahan daripada menumpukan isu yang sama – biar pun isu itu kitar semula, atau tidak perlu untuk disibukkan. Aktivis berkenaan terikut-ikut dengan penetapan agenda media itu.

Sebab itulah kita dapat lihat komentar atau gerakannya semacam ulang cetak – seperti kes Lina Joy, hanyalah berlegar-legar di lingkar masalah murtad dan mengkritik Suruhanjaya Antara Agama (IFC) - akibat terlalu menuruti arus perdana (bersumberkan media arus perdana dan mengutip komentar awam).

Maka yang demikian, tidaklah dapat kita temui aktivis yang mengemukakan jawapan bagi konflik kuasa sivil vis-à-vis syariah, persoalan agama hak individu atau kolektif, tuntutan liberalisme vis-à-vis hukum agama atau mencari punca ketempangan pendidikan (kaedah menerapkan Ihsan, Rukun Iman dan Islam dalam hidup) serta lain-lain kupasan di luar lingkar arus budaya perdana.

Kita juga boleh menyenarai pendek beberapa kebuntuan aktivis pelajar dalam menggerakkan aktivismenya. Antaranya, pengulangan hujah longgar dalam membuat tuntutan mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), mengecam penyelewengan Sekreteriat Pilihan Raya (SPR) Majlis Perwakilan Pelajar – seraya melancarkan boikot, mengecam campur tangan pentadbir universiti, demonstrasi lawan kementerian dan lain-lain.

Gerakan inilah yang dilakukan berulang-ulang saban tahun, tanpa ada penyegaran semula atau menghadapkan isu yang lebih penting.

Idealisme aktivis pelajar turut terbatas dengan bentuk aktivisme kumpulan terdahulu (misalnya barisan aktivis pelajar lewat 60-an dan 70-an) tanpa melihat bahawa mengagaskan kumpulan penterjemah karya sastera klasik itu satu bentuk aktivisme, atau kumpulan penggodam internet, atau pencinta hidupan sungai, atau kumpulan jurnalis – yang kesemuanya tulen atau lebih baik daripada budaya arus perdana.

Jadi, budaya aktivis pelajar tidak dapat berpisah daripada tarikan budaya klise seperti itu.

Bila bercakap tentang slogan ‘mahasiswa ejen merubah masyarakat’, apakah potensi untuk mencapainya sekiranya mencipta budaya kemahasiswaan sendiri telah gagal, bahkan menyebarkannya?

Tiada ulasan: